Home » Inisiatif Perolehan Peringkat Antarabangsa

Inisiatif Perolehan Peringkat Antarabangsa

Inisiatif Perolehan Kerajaan di Peringkat Antarabangsa

Malaysia terlibat dalam perbincangan berkaitan perolehan Kerajaan terutamanya dari segi penambahbaikan ke atas prosedur dan proses perolehan serta inisiatif menangani rasuah bagi mencapai urus tadbir terbaik serta meningkatkan tahap ketelusan dan integriti. Antara penglibatan Malaysia di peringkat antarabangsa yang berkaitan perolehan Kerajaan adalah seperti berikut:

1. Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement – TPPA) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (Comprehensive and Progressive for Trans-Pacific Partnership – CPTPP)

Malaysia telah menandatangani TPPA bersama 11 negara lain iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunei,Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Viet Nam pada 4 Februari 2016.

TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas pertama yang mengandungi Bab Perolehan Kerajaan. Secara umumnya obligasi di bawah Bab Perolehan Kerajaan menetapkan peraturan dan tatacara berasaskan standard antarabangsa serta amalan dan tadbir urus baik perlu dipatuhi agensi Kerajaan dalam melaksanakan perolehan Kerajaan.

Peraturan dan tatacara perolehan Kerajaan di  bawah TPPA tidak terpakai secara automatik kepada semua aktiviti perolehan kerajaan setiap negara TPPA. Hanya komitmen yang dinyatakan dalam tawaran akses pasaran negara masing-masing yang perlu dilaksanakan mengikut peraturan dan tatacara dalam Bab Perolehan Kerajaan tersebut. Sehubungan itu, setiap negara TPPA dikehendaki untuk menawarkan akses perolehan Kerajaan yang komprehensif meliputi agensi, barangan,perkhidmatan dan kerja serta had nilai perolehan untuk penyertaan syarikat dari negara-negara TPPA.

Walau bagaimanapun, selaras dengan penarikan Amerika Syarikat dari perjanjian ini pada 23 Januari 2017, Malaysia bersama-sama 10 negara yang lain telah menandatangani CPTPP pada 8 Mac 2018. CPTPP merupakan perjanjian untuk melaksanakan obligasi TPPA dengan penangguhan beberapa peruntukan asal di bawah TPPA.

2. World Trade Organisation – Government Procurement Agreement (WTO-GPA)

Malaysia merupakan pemerhati kepada WTO-GPA sejak tahun 2012. Sebagai pemerhati Malaysia boleh menghadiri Mesyuarat Jawatan Kuasa Perolehan Kerajaan (Government Procurement Committee-GPC) di bawah WTO-GPA yang diadakan secara berkala sepanjang tahun.

Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat WTO-GPC memberi peluang kepada Malaysia untuk mempelajari pelbagai aspek berkaitan perolehan kerajaan yang diamalkan di peringkat antarabangsa seperti yang tertakluk di bawah WTO-GPA.

3. Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC)

Malaysia merupakan salah satu daripada 21 negara APEC yang terlibat dalam penilaian perkembangan ekonomi di bawah Bogor Goals Progress Report Guidelines iaitu ke arah perdagangan dan pelaburan bebas/terbuka menjelang tahun 2020. Dalam mencapai matlamat ini, penilaian di bawah Individual Action Plan (IAP) perlu dilaksanakan, yang mana Malaysia perlu mengemukakan laporan dwitahunan berhubung pelaksanaan dasar perolehan Kerajaan yang baharu.

4. United Nations Convention Against Corruption (UNCAC)

UNCAC merupakan mekanisme pencegahan rasuah antarabangsa pertama yang mempunyai implikasi undang-undang ke atas negara signatory kepadanya, termasuk Malaysia. Di bawah UNCAC, pihak terlibat hendaklah melaksanakan kaedah pencegahan rasuah yang lebih menyeluruh dengan melibatkan undang-undang, institusi dan organisasi di negara masing-masing. Artikel 9 kepada Bab 2 di dalam UNCAC memperuntukkan klausa khusus mengenai perolehan Kerajaan dan pengurusan kewangan awam.

5. Anti-Corruption Action Plan (ACAP) for Asia and the Pacific

ACAP adalah inisiatif di bawah Asian Development Bank (ADB) bersama Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) yang mengandungi tiga (3) teras seperti berikut:

i)   Penekanan sistem yang berkesan dan telus dalam perkhidmatan sektor awam;

ii)  Pengukuhan langkah-langkah memerangi rasuah; dan

iii) Pelaksanaan promosi integriti dalam operasi perniagaan serta menyokong penyertaan awam yang aktif.

image_pdfimage_print