Home » Kata-Kata Aluan YAB Perdana Menteri

Kata-Kata Aluan YAB Perdana Menteri

Kata-Kata Aluan YAB Perdana Menteri

Kata-kata-Aluan-YAB-Perdana-Menteri

Bismillahirahmanirrahim

Selamat datang ke portal MyPROCUREMENT – Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan. Sejajar dengan perkembangan pesat dunia komunikasi masa kini, portal ini diwujudkan sebagai mekanisme bagi meningkatkan ketelusan dalam sistem perolehan Kerajaan dan menjadi medium utama untuk menyebarkan maklumat perolehan Kerajaan kepada orang ramai. Oleh itu, saya berharap orang ramai akan menggunakan maklumat ini dengan berhemah dan bertanggungjawab.

Menerusi portal ini, maklumat keputusan-keputusan perolehan Kerajaan akan dipaparkan untuk pengetahuan umum. Memandangkan Kementerian Kewangan telah lama melaksanakan konsep “decentralisation” dalam perolehan di mana Kementerian-Kementerian diberi kuasa menguruskan sendiri perolehan, maka portal ini berperanan mengumpul maklumat perolehan daripada semua Kementerian. Dalam fasa pertama, portal ini akan mengemukakan senarai iklan, keputusan tender dan lain – lain maklumat berkaitan perolehan seperti peraturan perolehan, proses tender dan sistem pendaftaran syarikat. Di masa akan datang, portal ini akan dikembangkan lagi dengan memuatkan lebih banyak maklumat berkaitan perolehan Kerajaan.

Saya yakin portal MyPROCUREMENT – Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan ini dapat meningkatkan ketelusan dan memudahkan urusan berkaitan aktiviti perolehan Kerajaan selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk melangkah ke era pentadbiran baru. Adalah diharapkan agar portal ini menjadi sumber rujukan yang berguna dan semoga maklumat yang dipaparkan dapat memberi penerangan yang berkesan kepada saudara saudari sekalian. Selamat melayari portal ini.

Sekian terima kasih

YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia

1 April 2010

 

image_pdfimage_print